Sivagangga: Ibarat seekor kerbau membawa lumpur…

IBARAT seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit. Gara-gara seorang individu ingkar kuarantin, kira-kira 7,000 penduduk meliputi empat mukim di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) mulai hari ini hingga 30 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata,  keputusan itu dibuat susulan 11 kes baharu Covid-19 yang berpunca daripada kluster PUI Sivagangga.

Beliau berkata empat kawasan terbabit ialah Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh, Kampung Pida Satu di Megat Dewa, Kampung Bendang Dalam Mukim Binjal di Kubang Pasu dan Kampung Ulu Sanai di Padang Terap yang kesemuanya terletak dalam radius satu kilometer dari restoran tersebut.

Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan PKP hari ini meluluskan permohonan kerajaan negeri Kedah untuk melaksanakan PKPD secara pentadbiran di kawasan-kawasan tersebut.

“Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama ke kawasan sekitar,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di bangunan Parlimen, hari ini.

Menurut laporan media, sehingga semalam, sebanyak 313 individu daripada kluster tersebut telah disaring dengan 20 dikesan positif Covid-19 sementara 280 individu negatif, manakala bakinya masih menunggu keputusan ujian.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan ke atas kira-kira 7,000 penduduk di kawasan terlibat.

Menurutnya, selain tadika, masjid serta rumah ibadat turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat.

“Kebebasan bergerak mungkin boleh disekat jika kes meningkat seperti yang berlaku di Kedah dan perkara sama mungkin boleh berlaku di tempat lain. Justeru itu, rakyat perlu patuh SOP dan setiap larangan agar perkara seumpama ini tidak berlaku di tempat lain,” katanya.

Semalam, lima sekolah di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap yang dikaitkan dengan Kluster Sivagangga diarah tutup serta-merta sehingga 29 Ogos ini.

Kerajaan negeri dalam kenyataan lewat malam tadi menyebut, sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, SMK Megat Dewa, Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba dan SK Megat Dewa di Kubang Pasu manakala di Padang Terap ialah SK Kubang Palas.

“Kesemua sekolah ini ditutup selama 28 hari yang membabitkan 14 hari tempoh kuarantin dan 14 hari tempoh pemerhatian,” menurut kerajaan negeri itu.

Perkara itu diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor semalam, selaras dengan pelaksanaan PKPD TEMCO di empat mukim di negeri itu

Related posts

Leave a Comment