PUTRAJAYA 19 Jan. – Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamad Sadique disahkan positif jangkitan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM), selepas menjalani ujian saringan pada Isnin.
Menurut kenyataan kementeriannya, Halimah akan menjalani rawatan dan tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh KKM di Johor Bahru.
Sepanjang tempoh itu, beliau akan terus memantau dan memastikan segala urusan Kementerian Perpaduan Negara berjalan dengan lancar.
Sementara itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhannya dan memohon maaf atas segala kesulitan dan masalah yang timbul akibat perkembangan tersebut.
Turut positif, Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Abdul Aziz yang kini sedang menjalani kuarantin di Hospital Raja Perempuan Zainab di Kota Bahru, Kelantan bermula petang Isnin. Beliau dilaporkan dalam keadaan stabil.
Nazri menjelaskan beliau hanya mengetahui salah seorang yang hadir sidang medianya positif Covid-19 beberapa hari lepas.
Katanya, sebaik mengetahui berita tersebut, beliau terus melakukan ujian saringan dan keputusannya diketahui petang Isnin.
Sebelum ini, seorang pemerhati politik Zaharin Mohd Yassin yang turut hadir ke sidang media Nazri pada 12 Januari lalu disahkan positif dan kini menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh.
