Cubaan seludup 40kg bunga ganja

TANJONG 2 Nov. – Seorang lelaki ditahan ketika cuba membawa 40 kilogram bunga ganja bernilai RM3.2 juta ke London menggunakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, pada 18 Oktober lalu.

Suspek yang berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang kira-kira pukul 5 petang ketika berada di ruang menunggu lapangan terbang berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Dennis Lim Kwang Keng berkata, pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawa suspek menemukan 40 kilogram bunga ganja yang disyaki bagi diseludup ke London.

Katanya , hasil siasatan mendapati suspek yang juga penganggur berasal dari Miri, Sarawak itu dipercayai baru dua hari tiba di Pulau Pinang.

“Suspek juga dipercayai pertama kali terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah menerusi udara bagi merentas sempadan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Dennis berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah selain mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

Kes suspek yang bersetuju menjadi keldai dadah dengan bayaran sebanyak RM9,000 itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Related posts

Leave a Comment