Brunei Darussalam catat 261 kes baharu

BERAKAS 20 Mei  – Brunei Darussalam hari ini merekodkan 261 kes harian Covid-19 berbanding 262 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan setakat ini 146,044.

Menteri Pertahanan II, Halbi Mohd Yussof, yang mewakili Menteri Kesihatan berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 259 adalah hasil Ujian ART dan dua kes lagi hasil 305 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes direkodkan dalam Kategori 5, dan satu kes dalam Kategori 4 yang perlu bantuan oksigen dan pemantauan rapi.

Katanya, sebanyak 437 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 144,057 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,766 kes, iaitu 13 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,753 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, 281 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 33,117 atau 77.2 peratus telah menerima satu dos.

Sebanyak 1,130 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 14,188 atau 33.1 peratus manakala 69.2 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment