9,357 kes demam denggi di Selangor

SHAH ALAM 17 Mei – Sejumlah 9,357 kes demam denggi dilaporkan di Selangor, tahun ini setakat 7 Mei lalu, dengan peningkatan sebanyak 70 peratus atau 3,854 kes berbanding tempoh minggu epid (ME) yang sama pada tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Sha’ari Ngadiman, berkata lima daerah utama merekodkan bilangan kes demam denggi tertinggi, iaitu Petaling 3,481 kes (37.2 peratus), Klang (3,197 / 23.5 peratus), Hulu Langat (2,008 / 21.5 peratus), Gombak (937 / 10.0 peratus) dan Sepang (228 / 2.4 peratus).

Lokaliti wabak denggi aktif pula berjumlah 240 membabitkan 42 lokaliti ‘hotspot’, wabak tidak terkawal 24 serta wabak terkawal dan wabak baharu 174).

Bilangan lokaliti ‘hotspot’ mengikut daerah ialah Petaling (25), Klang (8), Hulu Langat (6), dan Sepang, Kuala Selangor serta Kuala Langat masing-masing satu.

Dalam kenyataan melalui Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS), beliau berkata, satu kematian akibat denggi didaftarkan, setakat ini, tidak berubah berbanding minggu sama pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Dr Sha’ari memaklumkan pada ME 18 dari 1 hingga 7 Mei lalu, sebanyak 470 kes demam denggi dilaporkan di Selangor, menurun sebanyak 28.4 peratus berbanding 656 kes pada minggu sebelumnya.

Justeru, JKNS menyarankan komuniti di kawasan kediaman melaksanakan aktiviti pembersihan tempat pembiakan nyamuk Aedes kendiri secara berkala di dalam dan luar persekitaran tempat tinggal, dengan meluangkan masa 10 minit seminggu.

Related posts

Leave a Comment