Sudah djangka kes lepas raya naik

PUTRAJAYA 16 Mei – Jumlah pesakit Covid-19 membabitkan Kategori 1 hingga 5 yang dimasukkan ke hospital awam dalam tempoh 8 hingga 14 Mei lalu, iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini menunjukkan peningkatan mendadak.

Beberapa indikator kesihatan awam juga menunjukkan peningkatan pada kadar 100 peratus dalam tempoh sama iaitu pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memang sudah menjangka akan berlaku kenaikan kes selepas perayaan Aidilfitri yang disambut meriah pada awal bulan ini.

Selain kenaikan mendadak jumlah kemasukan pesakit ke hospital awam, pertambahan juga dapat dilihat pada kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang meningkat sebanyak 38 peratus bagi setiap 100,000 penduduk.

Kes positif Covid-19 dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan, iaitu 87.4 peratus bagi bilangan kedatangan pesakit ke CAC, manakala bilangan kes baharu menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 153.4 peratus.

Bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital pula meningkat sebanyak 28.2 peratus. Begitu juga dengan trend kes aktif Covid-19 yang dipantau secara maya.

Pemantauan CAC Maya mendapati peningkatan ketara kes aktif Covid-19, iaitu sebanyak 162.4 peratus atau daripada 13,400 kes pada ME 18/2022 kepada 35,167 kes pada ME 19/2022.

Dr Noor Hisham berkata, penggunaan katil bukan kritikal turut meningkat sebanyak 18 peratus, manakala jumlah kes baharu pada ME 19/2022 naik sebanyak 119.2 peratus iaitu daripada 8,732 kes pada ME 18/2022 kepada 19,137 kes.

Kes tempatan turut meningkat sebanyak 119.6 peratus berbanding minggu sebelumnya, iaitu daripada 8,703 kepada 19,108 kes, namun bilangan kes import kekal sebanyak 0.01 peratus atau 29 kes.

Sejajar dengan peningkatan kes harian pada ME 19/2022, purata nilai kebolehjangkitan (Rt) juga menunjukkan peningkatan sebanyak 70.2 peratus pada ME 19/2022 berbanding ME 18/2022.

Ketika fasa peralihan ke endemik, beliau memaklumkan, survelan Covid-19 tetap diteruskan di beberapa klinik kesihatan sentinel dan hospital sentinel di seluruh negara ke atas sampel pesakit yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan yang ringan atau teruk.

Sehingga ME 19/2022, hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati kadar positif sampel sampel pesakit Influenza (ILI) bagi Covid-19 meningkat, iaitu 6.3 peratus pada ME 18/2022 kepada 7.5 peratus pada ME 19/2022.

“Melihat peningkatan mendadak hampir semua indikator berkaitan Covid-19, KKM menegaskan semua penduduk di negara ini untuk sentiasa mengikuti nasihat disarankan kerajaan dalam mengawal dan mencegah penularan jangkitan COVID-19 dalam fasa peralihan ke endemik ini.

“Sekiranya masyarakat lalai dan tidak mematuhi nasihat dan ketetapan yang dilaksanakan oleh kerajaan, tidak mustahil kenaikan itu dijangka berterusan,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan, terdapat beberapa penurunan peratusan yang dilaporkan pada ME 19/2022 berbanding minggu sebelumnya, termasuk penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang turun sebanyak 10 peratus.

“Bagi perbandingan untuk kes sembuh dan baharu, bilangan kes sembuh pada ME 19/2022 turun sebanyak 59.2 peratus atau 30,930 kes kepada 12,618 kes berbanding ME 18/2022,” katanya.

Related posts

Leave a Comment