Singapura kesan 3 kes subvarian Omicron

SINGAPURA 16 Mei – Tiga kes subvarian Omicron baru dikesan di Singapura, iaitu dua kes dijangkiti varian BA.4 dan satu kes tempatan  disahkan varian BA.5.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), ini adalah kes masyarakat pertama yang disahkan dijangkiti dengan  varian BA.4 dan BA.5.

Kes ini dikesan melalui ujian lanjut terhadap sampel positif tindak balas rantai polimerase (PCR) dan disahkan melalui penjujukan genom keseluruhan (WGS).

Pusat Eropah bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit (ECDC) baru-baru ini menyenaraikan virus Omicron sebagai varian yang membimbangkan. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menambah varian BA.4 dan BA.5 ke dalam senarai varian dalam pemantauan pada awal April.

Kedua-dua varian keturunan versi BA.2 Omicron itu pertama kali dilaporkan oleh Afrika Selatan pada awal 2022 dan sejak itu telah menjadi varian dominan di sana.

Menurut MoH, semua kes yang dikesan itu sama ada tidak mengalami gejala atau mempunyai simptom ringan seperti demam, batuk, hidung berair dan sakit tekak, dan tidak perlu dimasukkan ke hospital.

Mereka juga sudah lengkap divaksin dan menerima dos penggalak.

Ketiga-tiga individu itu telah mengasingkan diri selepas disahkan positif Covid-19 dan tidak melaporkan terdedah kepada sebarang keadaan yang berisiko, tambah kementerian itu.

“Kami akan meningkatkan usaha pengawasan tempatan dan terus memantau penularan BA.4 dan BA.5 di Singapura,” kata MoH.

Meskipun masyarakat kini lebih berdaya tahan terhadap virus itu, semua orang harus terus memainkan peranan mereka dan kekal berwaspada untuk mengurangkan penyebaran Covid-19 khususnya, orang yang mudah terdedah kepada komplikasi Covid-19, seperti mereka yang tidak divaksin, individu berumur 60 tahun ke atas serta orang yang mempunyai penyakit kronik.

Kedua-dua versi BA.4 dan BA.5 mengandungi mutasi dalam protein spike yang lebih mudah berjangkit berbanding BA.1 dan BA.2 yang menyebabkan gelombang Omicron awal tahun ini.

Bagaimanapun, bukti dari negara lain menyokong dapatan bahawa jangkitan BA.4 dan BA.5 berkemungkinan tidak menyebabkan penyakit yang lebih teruk, berbanding dengan varian Omicron sebelumnya.

WHO setakat 11 Mei menganggarkan sekurang-kurangnya 1,000 kes BA.4 dan BA.5 dilaporkan di sekurang-kurangnya 16 negara. 

Related posts

Leave a Comment