Iktiraf bersama sijil vaksin ASEAN

KUALA LUMPUR 16 Mei –  Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN bersetuju dengan Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin Covid-19 bagi memastikan perjalanan rentas sempadan yang lancar dan selamat.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Aaron Ago Anak Dagang, berkata perkara itu dipersetujui dalam sesi perbincangan khas Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-15 di Bali, Indonesia, kelmarin.

“Pengiktirafan ini akan dilaksana menggunakan Mekanisme Verifikasi Sejagat ASEAN atau mekanisme lain yang dibangunkan berdasarkan spesifikasi teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Ia bertujuan memudahkan urusan pengesahan sijil vaksinasi COVID-19 yang dikeluarkan setiap negara anggota ASEAN.

Malaysia menghargai usaha Indonesia untuk mengambil inisiatif mengetuai pembangunan Mekanisme Verifikasi Sejagat ASEAN itu,” menurutnya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, Malaysia berpandangan sistem itu yang dilaksana secara sukarela, berpotensi tinggi untuk menyokong negara ASEAN yang belum memiliki sistem verifikasi sijil vaksinasi Covid-19.

Ia penting bagi melancarkan pembukaan sempadan dan seterusnya mempercepat proses pemulihan ASEAN daripada Covid-19.

Aaron berkata, Malaysia juga bersedia untuk terus bekerjasama dengan negara ASEAN dalam melaksanakan Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin Covid-19 bagi memastikan pembangunan rantau itu yang lebih sihat dan selamat selain menjamin kelangsungan hidup rakyat.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke AHMM ke-15 yang berlangsung dari 11 Mei hingga semalam.

Mesyuarat itu antara lain memfokus kepada pengukuhan daya tahan sistem kesihatan serta pemulihan ASEAN daripada Covid-19.

Katanya, Malaysia juga akan mengetuai Projek Memperkukuh Kapasiti Makmal berkaitan Biogenomik Covid-19 bagi Negara Anggota ASEAN, iaitu projek Memperkukuh Inisiatif Serantau di ASEAN mengenai Respons Covid-19 dan Inisiatif Kesihatan Awam lain.

Projek ini akan memfokus kepada aspek teknikal dalam pelaksanaan jujukan penuh genom Covid-19, pengesanan mutasi virus, pembinaan pepohon filogenetik Covid-19 serta analisis genom dan menggiatkan sistem survelan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment