MBZ dilantik Presiden UAE

ABU DHABI 14 Mei – Pemimpin de-facto Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Putera Mahkota Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, dilantik Presiden UAE hari ini, berikutan pemergian Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan, 73, semalam.

Sheikh Mohamed bin Zayed dilantik oleh Majlis Agung Persekutuan, selepas sekian lama melakukan tugas pentadbiran dari belakang tabir, sejak abang tirinya uzur.

Semalam, jenazah Sheikh Khalifa Zayed selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Al Bateen di Abu Dhabi.

Menurut laporan media, Sheikh Mohamed bin Zayed dan pemimpin kanan kerajaan menunaikan solat jenazah di Masjid Pertama Sheikh Sultan bin Zayed, Abu Dhabi.

Upacara pengebumian dilakukan dengan penuh istiadat di mana pengawal kehormat tentera yang berpakaian seragam membawa jenazah Almarhum sebelum diserahkan kepada keluarga Allahyarham untuk disemadikan.

Sheikh Khalifa mengambil alih sebagai Presiden kedua UAE pada November 2004, menggantikan bapanya sebagai pemerintah ke-16 Abu Dhabi.

Penggantinya, Sheikh Mohamed bin Zayed, juga dikenali sebagai ‘MBZ’, sudah menemui anggota Majlis Agung Persekutuan yang merangkumi pemimpin tujuh emiriyah di UAE, ketika negara kaya dengan minyak itu memulakan tempoh berkabung.

Pelantikannya memang dijangka dan hanya dianggap sebagai pengiktirafan selepas sudah bertahun lamanya memangku tugas presiden di negara dengan 10 juta penduduk itu.

Di bawah pimpinannya, UAE berjaya menghantar angkasawan ke angkasa lepas, meneroka planet Marikh dan membuka reaktor nuklear pertamanya, di samping menggunakan pengaruh sebagai pengeluar minyak utama bagi menggubal dasar luar yang lebih tegas.

UAE juga bersama sekutu rapatnya Arab Saudi memainkan peranan penting dalam perkembangan geopolitik Asia Barat.

Antaranya termasuk mempelopori peralihan daripada kuasa tradisional, pengurangan pembabitan Amerika Syarikat (AS) dan menjalin hubungan dengan Israel serta menyertai perang menentang militan disokong Iran di Yaman.

Related posts

Leave a Comment