Brunei Darussalam catat kenaikan kes

BERAKAS 14 Mei  – Brunei Darussalam hari ini mencatatkan peningkatan kes harian Covid-19 kepada 275 berbanding 270 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 144,411.

Menteri Dalam Negeri Abu Bakar Apong berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 266 adalah hasil Ujian ART dan sembilan kes lagi hasil daripada 453 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap mewakili Menteri Kesihatan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes direkodkan dalam Kategori 5, dan Kategori 4.

Katanya, sebanyak 209 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 142,527 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,664 kes, iaitu 20 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,644 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, 161 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 31,109 atau 72.5 peratus telah menerima satu dos.

Sebanyak 170 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 8,812 atau 20.5 peratus manakala 68.1 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment