Presiden UAE meninggal dunia

ABU DHABI 12 Mei – Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan yang juga Pemerintah Abu Dhabi meninggal dunia pada usia 73 tahun hari ini, Jumaat.

Berita kemangkatan itu diumumkan oleh Agensi Berita Emiriyah (WAM).

Almarhum dilahirkan pada 1948 dan menaiki takhta Abu Dhabi pada 2004 bagi menggantikan ayahandanya, Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan, presiden pertama sejak 1971 sehingga mangkat pada 2 November 2004.

Sheikh Khalifa adalah presiden kedua UAE dan yang ke-16 sebagai pemerintah Abu Dhabi.

Di bawah Perlembagaan, Naib Presiden dan Perdana Menteri Sheikh Mohammed Bin Rashid Al-Maktoum, yang juga pemerintah Dubai, akan bertindak sebagai Presiden sehingga Majlis Persekutuan yang mengumpulkan Pemerintah Tujuh Emiriyah bermesyuarat dalam tempoh 30 hari untuk memilih presiden baharu.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Sheikh Khalifa.

Seri Paduka turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Almarhum dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Sheikh Khalifa sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu itu.

“Seri Paduka mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut hantaran di laman Facebook Istana Negara.

Susulan berita kemangkatan Sheikh Khalifa, Al-Sultan Abdullah telah menghubungi Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahya untuk menzahirkan ucapan takziah secara peribadi.

Menurut hantaran itu, Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada 1978 serta 1979 dan persahabatan akrab kedua-dua pemimpin kekal hingga sekarang.

Atas jemputan peribadi Sheikh Mohamed, Al-Sultan Abdullah turut berkenan berangkat ke Abu Dhabi Ahad ini untuk bersama-sama ketua negara dan kerajaan lain memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Istiadat penghormatan terakhir Sheikh Khalifa dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga 16 Mei.

Related posts

Leave a Comment