COLOMBO 13 Mei – Pelantikan Ranil Wickremesinghe sebagai Perdana Menteri baharu gagal meredakan kemarahan penduduk Sri Lanka yang berdepan krisis terburuk sejak negara itu merdeka pada 1948.
Majoriti masih menuntut penyingkiran Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, sekali gus melenyapkan cengkaman keluarga Rajapaksa, bagi membuka laluan bagi penubuhan kerajaan baharu.
Malah, usaha Wickremesinghe selaku pembangkang veteran yang dilantik sebagai Perdana Menteri bagi kali keenam, untuk membentuk kerajaan perpaduan hari ini turut menemui kebuntuan kerana tidak disokong parti lain.
Beliau menggantikan Mahinda Rajapaksa, 76, yang meletak jawatan pada Isnin lalu di tengah-tengah pergolakan yang semakin meningkat berhubung pengendalian kerajaan terhadap krisis ekonomi yang meruncing.
Wickremesinghe, 73, pemimpin Parti Kebangsaan Bersatu (UNP), mengangkat sumpah di hadapan Presiden, Gotabaya Rajapaksa di pejabat presiden.
Gotabaya berkata Wickremesinghe ‘memikul tugas yang mencabar untuk mengemudi negara melalui masa yang sangat bergelora’.
Wickremesinghe adalah ahli Parlimen tunggal daripada partinya dalam Parlimen 225 kerusi dan berhadapan tugas yang sukar bagi mendapatkan sokongan untuk dasar-dasar beliau.
Mempunyai latar belakang sebagai peguam, beliau dipilih ke Parlimen buat kali pertama pada 1977 dan menjadi menteri Kabinet pada usia 29 tahun pada 1978.
Perdana Menteri baharu itu berdepan cabaran sukar untuk meredakan kemarahan orang ramai terhadap inflasi dan kekurangan barangan keperluan serta mendapatkan wang tunai daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menstabilkan ekonomi negara.
(Foto fb Gotabaya Rajapaksa)