Syor dos penggalak kedua

PUTRAJAYA 12 Mei – Jawatankuasa Kerja Teknikal Kementerian Kesihatan mengesyorkan pemberian dos penggalak kepada individu berumur 60 tahun dan ke atas boleh dibuat secara sukarela dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.

Individu 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk seperti penyakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain pula boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh sama selepas menerima dos penggalak pertama dan berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini memaklumkan, remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk boleh ditawarkan dos penggalak pertama dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos primer dan berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

Individu yang telah lengkap menerima dos primer vaksin Covid-19 dan diikuti dengan dos penggalak pertama telah terbukti boleh mendapat perlindungan optimum daripada jangkitan Covid-19 yang teruk serta kematian.

Namun disebabkan penurunan imuniti dalam tempoh yang tertentu (waning imunity), terutamanya kepada individu dalam kumpulan rentan, risiko masih lagi tinggi bagi kumpulan ini untuk mendapat jangkitan yang teruk, dimasukkan ke hospital dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

Sementara itu,  mengenai penggunaan ubat antiviral Paxlovid, Khairy berkata, seramai 173 pesakit telah mengambilnya dan sembuh sepenuhya serta tiada sebarang kesan sampingan dilaporkan.

“Untuk makluman, ubat Paxlovid telah dibekalkan untuk rawatan pesakit Covid-19 di 512 buah Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Klinik Kesihatan dan 78 buah hospital kerajaan.

“Setakat ini, keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit Covid-19 berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan hingga sederhana,” katanya.

Related posts

Leave a Comment