Lima pelajar rentung dalam nahas

KUALA KANGSAR 12 Mei – Lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora di sini, tengah malam tadi.

Mereka adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, berasal dari Chukai Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak.

Muhammad Nasrun dan Iqbal Hasun adalah pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam; Ahmad Naim Najmi (Sarjana Muda Kaunseling); Muhammad Nabil Haikal (Diploma Pentadbiran Perniagaan) dan Ahmad Akmal (Diploma Kaunseling Islami).

Semua pelajar itu difahamkan sedang keluar kawasan atau ‘outing’ ke Ipoh menaiki kereta yang disewa memandangkan tiada kelas pembelajaran semalam.

Sementara itu, Naib Canselor USAS, Prof. Dr Nordin Kardi dalam Facebooknya turut mengucapkan takziah kepada keluarga besar USAS yang kehilangan lima pelajar yang terbabit dalam kemalangan semalam.

Semua mangsa baharu memulakan pengajian selepas bercuti sempena sambutan Aidilfitri.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata nahas membabitkan kereta dengan dua treler yang masing-masing bermuatan besi dan mozek.

Nahas membabitkan keseluruhan sebanyak lapan mangsa, dengan lima daripadanya yang menaiki kereta maut di tempat kejadian manakala dua pemandu treler dan seorang kelindan terselamat.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata nahas tiga kenderaan mengakibatkan lima individu maut akibat rentung terbakar di KM246, lebuh raya PLUS arah utara, di sini, dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan jalan dilakukan pihak PLUS.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati treler membawa muatan mozek dari arah selatan menghala utara sedang memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan dari KM 246 hingga 244.4 ditutup berikutan penyelenggaraan jalan.

Beliau berkata, pada masa yang sama, kereta Honda City dinaiki lima mangsa rentung yang sedang mengekori di belakang treler berkenaan, sebelum kedua-dua kenderaan itu dipercayai memperlahankan kenderaan.

Bagaimanapun, katanya, sebuah lagi treler membawa muatan besi pagar datang dari arah belakang Honda City berkenaan dan dan tidak sempat membrek, mengakibatkan ia merempuh bahagian belakang kereta berkenaan sebelum menyeretnya ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler bermuatan mozek terbabit.

“Akibat daripada itu, Honda City berkenaan terbakar sebelum api turut merebak ke bahagian kepala (hadapan) kereta. Pemandu kereta itu serta empat penumpang di dalamnya tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri hingga menyebabkan mereka rentung dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini.

Beliau berkata, susulan dari itu pemandu treler muatan besi berusia 28 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar.

Related posts

Leave a Comment