BAITULMUQADDIS – Amerika Syarikat (AS) menandatangani perjanjian untuk membina bangunan baharu kedutaan AS di sini, yang disifatkan Israel satu langkah mencerminkan ‘pakatan yang tidak boleh dipisahkan’ antara kedua-dua negara.
Pada penggal pertama pentadbiran, Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017 dan mengarahkan pemindahan misi diplomatik Washington dari Tel Aviv.
Bagaimanapun, perkhidmatan kedutaan terus beroperasi di beberapa lokasi di Baitulmaqdis sementara tapak kekal yang sesuai dikenal pasti.
Duta Besar AS ke Israel, Mike Huckabee, berkata pada majlis menandatangani perjanjian di Kementerian Luar Israel, Washington mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara yang kekal, asal dan selama-lamanya bagi bangsa Yahudi.
“Kami akan menanam bendera kami, bendera Amerika, di bumi Baitulmuqaddis menerusi pembinaan bangunan kedutaan baharu kekal, yang akan menjadi pusat utama segala aktiviti diplomatik kami di Israel,” katanya.
Kompleks kedutaan itu akan dibina di kawasan Allenby di selatan Baitulmuqaddis.
Keputusan Trump pada 2017 itu menamatkan dasar AS yang diamalkan selama beberapa dekad, yang menetapkan bahawa status muktamad Baitulmuqaddis perlu ditentukan menerusi rundingan antara Israel dan Palestin.
Selepas Israel menawan Baitulmuqaddis Timur dalam Perang Arab-Israel 1967, negara itu mengisytiharkan bandar berkenaan sebagai ibu negara yang tidak boleh dibahagikan, namun tuntutan itu tidak diiktiraf secara meluas oleh masyarakat antarabangsa.
Rakyat Palestin menuntut Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara bagi sebuah negara Palestin pada masa depan.
Tuntutan saling bertindih itu, menyebabkan kebanyakan negara menempatkan kedutaan masing-masing di Tel Aviv dengan berpendirian bahawa status Baitulmuqaddis perlu diselesaikan menerusi rundingan damai selaras dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
