Hospital Kajang catat sejarah

KAJANG 9 Mei –  Hospital Kajang di sini mencatatkan sejarah semalam apabila buat julung kali berjaya melaksanakan prosedur pendermaan organ.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan turut merakamkan penghargaan kepada keluarga penderma.

“Pendermaan organ merupakan anugerah kehidupan yang sangat bernilai kerana ia bukan sahaja memberikan kualiti hidup yang lebih baik, malah menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan fungsi organ,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara lebih lanjut mengenai pendermaan organ itu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Tissue & Organ Procurement (TOP) Team, Jabatan Anestesiologi & Unit Rawatan Rapi, Jabatan Perubatan, Jabatan Patologi, Jabatan Radiologi.

Begitu juga Jabatan Kecemasan dan Unit Forensik Hospital Kajang serta pasukan pakar Urologi (Mr Ashani dan Mr Tham) Hospital Kuala Lumpur yang membantu menjayakan pelaksanaan prosedur ini.

Mengimbau kembali sejarah transplantasi organ di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata, ia telah bermula sejak tahun 1975 dengan pelbagai aktiviti dan langkah pengukuhan dijalankan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan pendermaan organ.

Sehingga kini, 2,624 pesakit menerima manfaat pembedahan transplantasi organ hasil pendermaan organ selepas kematian dan penderma hidup manakala rekod terkini menunjukkan lebih 4,600 pesakit di dalam senarai menunggu organ di negara ini.

Beliau menyeru semua pihak untuk terus menyokong program pendermaan organ di Malaysia, demi membantu pesakit-pesakit ini.

Related posts

Leave a Comment