Covid-19: Penurunan kes ke hospital

PUTRAJAYA 9 Mei – Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 27 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) 18/2022 berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk juga menunjukkan penurunan sebanyak 50 peratus bagi kes kategori satu hingga lima.

“Secara keseluruhan, peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 menurun pada ME 18/2022 berbanding minggu sebelumnya, iaitu penggunaan katil bukan kritikal menurun sebanyak 21 peratus dan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 20 peratus.

“Bagi penggunaan katil di PKRC juga mencatatkan penurunan mendadak sebanyak 100 peratus dan jumlah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun sebanyak 26 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun kes positif Covid-19 masih dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara namun data menunjukkan terdapat penurunan sebanyak 57 peratus untuk bilangan kedatangan pesakit Covid-19.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bilangan kes baharu Covid-19 yang menjalani pemantauan di rumah turut menurun sebanyak 59.7 peratus serta bilangan kes Covid-19 yang dirujuk ke CAC, PKRC atau hospital menurun sebanyak 44.3 peratus.

Bagi perbandingan data CAC maya pula, trend kes aktif Covid-19 di bawah pemantauan pusat berkenaan pada ME 18/2022 menurun sebanyak 54.9 peratus iaitu 259,882 kes sebelum ini kepada 117,248 kes kini.

Mengenai situasi terkini kes Covid-19 di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, bilangan kes sembuh pada ME 18/2022 menurun sebanyak 45.1 peratus iaitu 56,352 kes kepada 30,930 kes.

“Bilangan kes baharu pada ME 18/2022 menurun sebanyak 58.3 peratus iaitu 20,937 kes kepada 8,732 kes, bilangan kes tempatan menurun sebanyak 58.3 peratus (20,876 kes kepada 8,703 kes) dan bilangan kes import menurun sebanyak 52.5 peratus (61 kes kepada 29 kes).

“Untuk kes kematian pula, pada ME 18/2022 ia menurun sebanyak 42.9 peratus iaitu daripada 56 kes kepada 32 kes serta untuk bilangan kes aktif ia menurun sebanyak 48 peratus iaitu 412,555 kes kepada 214,405 kes,” katanya.

Related posts

Leave a Comment