Seri Paduka di Rumah Terbuka PM

PUTRAJAYA 8 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, di Seri Perdana, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda ke Seri Perdana pada kira-kira jam 11.30 pagi disambut Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara,  Mohd Zuki Ali.

Al-Sultan Abdullah kemudian diiringi ke bilik santapan khas untuk menikmati juadah tradisi ala desa.

Usai bersantap, Seri Paduka Baginda berkenaan berangkat ke khemah utama di Laman Sari untuk beramah mesra dengan rakyat yang hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu.

Diiringi Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda berkenan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang teruja dengan kehadiran Seri Paduka di khemah yang disediakan untuk Keluarga Malaysia yang hadir, serta turut memenuhi permintaan rakyat yang ingin berswafoto.

Majlis dengan tema Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri itu adalah rumah terbuka pertama dihoskan Ismail Sabri selepas dilantik Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021 dan barisan Kabinet beliau.

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri sudah dua tahun tidak diadakan kerana pandemik Covid-19.

Kali terakhir ia diadakan pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau.

Related posts

Leave a Comment