Peningkatan kes harian berterusan

BERAKAS 8 Mei  – Brunei Darussalam hari ini merekodkan 231 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menunjukkan peningkatan berterusan berbanding 162 semalam dan 153 kes kelmarin.

Menteri Kesihatan Dr. Md. Isham Jaafar berkata, dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 142,858.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 224 adalah hasil Ujian ART dan tujuh kes lagi hasil daripada 338 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes dalam Kategori 5, iaitu yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Bagaimanapun dua kes direkodkan dalam Kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Sebanyak 133 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 141,806 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 833 kes, iaitu 11 kes sedang dirawat di hospital, manakala 822 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu bagi program vaksinasi pula, sebanyak 1,708 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun semalam, 7 Mei menjadikan jumlah keseluruhan 24,530  orang atau 57.2 peratus.

Sebanyak 1,194 lagi dos kedua diberikan kepada kumpulan kanak-kanak ini yang menjadikan jumlah keseluruhan 3,582 dos atau 8.3 peratus.

Bagi penduduk dewasa pula jumlah yang menerima tiga dos meningkat kepada 66.3 peratus.

Related posts

Leave a Comment