CUEPACS kecewa tiada kenaikan gaji

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kecewa Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi oleh penjawat awam ketika ini.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata tiada sebarang komitmen yang diberikan oleh kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup.

“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak pada ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama membabitkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.

“Malah, inisiatif kerajaan memberikan pengurangan cukai pendapatan individu sebenarnya tidak memberi kesan yang besar kepada pendapatan rakyat terutama penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lebihan pendapatan boleh guna hingga RM1,300 melalui pengurangan cukai tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat.

“Penjawat awam ketika ini mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu memandangkan sistem saraan perkhidmatan awam yang digunapakai ketika ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002. Ia juga tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya.

Adnan berkata, seperti yang dinyatakan sebelum ini, kunci kepada negara untuk keluar daripada kancah kos sara hidup ini ialah dengan kaedah meningkatkan gaji dan upah pekerja di samping melaksanakan langkah mengawal kenaikan kos sara hidup.

Begitu juga dalam hal pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan penjawat awam juga tidak diberi tumpuan dalam belanjawan ini.

“Kerajaan sewajarnya memperkenalkan semula program perumahan mampu milik untuk penjawat awam seperti sebelum ini.

“Konsep rumah mampu milik seperti Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang dikhususkan kepada anggota ATM perlu diperluaskan kepada semua penjawat awam.

“Penjawat awam tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam,” katanya.

Justeru CUEPACS berharap, kerajaan terbuka untuk memperhalusi semula permintaan penjawat awam selama ini terutama dalam membabitkan kos sara hidup.

Katanya, sebelum ini sudah beberapa kali kerajaan mahu mengkaji sistem saraan perkhidmatan awam namun hingga kini tiada apa-apa perkembangan atau khabar gembira yang diterima.

“Adalah besar harapan penjawat awam sekiranya kerajaan dapat mempertimbangkan pandangan dan keluhan kumpulan yang selama ini memberi sokongan yang penuh kepada agenda serta aspirasi kerajaan,” katanya.

Mengenai Belanjawan 2023 yang dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan, Adnan berkata, CUEPACS mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteriatas pembentangan Belanjawan 2023.

Katanya, CUEPACS yakin warga penjawat awam akan memberikan komitmen yang sepenuhnya bagi menjayakan aspirasi yang dibawakan oleh kerajaan belanjawan ini manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

“CUEPACS juga mengucapkan ribuan terima kasih atas inisiatif kerajaan untuk meneruskan kebenaran penebusan awal Gantian Cuti Rehat sehingga 50 peratus iaitu maksimum 90 hari.

“Begitu juga pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak. Inisiatif ini sudah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini dan diteruskan oleh kerajaan semasa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment