AS siasat 109 hepatitis akut

AMERIKA Syarikat mengeluarkan amaran berwaspada April lalu selepas mengesan 109 kes hepatitis akut yang tidak diketahui penyebabnya terhadap kanak-kanak termasuk lima kematian akibat penyakit itu.

Timbalan Pengarah Penyakit Berjangkit di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Dr Jay Butler berkata, kes itu telah dikenal pasti sejak tujuh bulan lalu di 25 negeri dan wilayah.

Sebanyak 14 daripada kanak-kanak itu memerlukan pemindahan hati dan kira-kira separuh daripada 109 kanak-kanak yang didiagnosis dengan hepatitis juga dijangkiti sejenis adenovirus, virus yang menyebabkan selesema biasa.

Bagaimanapun agensi itu masih menyiasat punca sebenar penyakit itu sama ada jangkitan Covid-19 mungkin memainkan peranan, serta pendedahan kepada patogen lain, ubat-ubatan dan haiwan.

Berbanding dengan kadar prapandemik, agensi itu berkata ia tidak melihat peningkatan keseluruhan dalam kejadian hepatitis akut pada kanak-kanak.

Kemas kini itu menyusul penyiasatan di Amerika Syarikat dan Eropah tentang kes hepatitis akut pada kanak-kanak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) awal minggu ini berkata ia telah menerima laporan sekurang-kurangnya 228 kes berkemungkinan dari 20 negara dengan lebih 50 kes tambahan dalam siasatan.

CDC berkata ia sedang bekerjasama dengan rakan sejawat di Eropah untuk memahami punca jangkitan yang boleh menyebabkan kerosakan hati dan membawa kepada kegagalan organ itu.

Related posts

Leave a Comment