Penerbangan pertama haji 31 Mei

BUKIT GANTANG 5 Mei – Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Makkah dijadualkan pada 31 Mei ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Beliau berkata segala persiapan bagi urusan itu berjalan lancar dan pihaknya sedang menunggu jemaah menjawab surat tawaran yang dihantar Lembaga Tabung Haji (TH) pada 24 April lalu.

“Jemaah yang menerima tawaran itu hendaklah membuat persiapan seperti menyediakan pasport antarabangsa, lengkap vaksin dan mempunyai kesihatan yang baik,” katanya pada sidang media pada Rumah Terbuka Sempena Aidilfitri 2022 di Kampung Sungai Petai, hari ini.

Kuota jemaah haji Malaysia tahun ini adalah 14,306 orang.

Idris berkata, jumlah jemaah yang akan menyertai penerbangan pertama dan terakhir sedang dibuat penjadualan semula oleh TH.

Pihak TH sedang menunggu mungkin ada jemaah yang menolak tawaran dan TH akan memberikan keutamaan kepada jemaah lain.

Beliau mengakui pengurusan haji tahun ini agak mencabar namun yakin TH mempunyai pengalaman dan keupayaan mengendalikannya.

Mengenai rayuan kuota haji, Idris berkata, surat rayuan daripada Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob, akan diserahkan kepada Raja Salman Abdulaziz dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa agama untuk membuat siasatan mengenai kes tokoh agama didakwa berjoget di kelab malam.

“Saya tidak berani komen kerana benda itu tak pasti. Biar pihak berkuasa siasat,” katanya ketika diminta mengulas klip video yang kononnya memaparkan seorang tokoh agama dan penasihat sultan sedang berhibur di sebuah kelab malam.

Related posts

Leave a Comment