Bajet responsif, bertanggungjawab, reformis

KUALA LUMPUR 7 Okt. – : Bajet 2023 akan berpegang kepada prinsip 3R, iaitu responsif, ‘responsible’ (bertanggungjawab) dan reformis, dengan sasaran memperkukuh momentum pemulihan ekonomi; memperkukuh daya tahan ekonomi dan melaksanakan pembaharuan menyeluruh.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata

dengan jumlah keseluruhan RM372.3 bilion, Bajet 2023 akan memberi jaminan untuk kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan kemakmuran ekonomi serta kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Peruntukan itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding Bajet 2022 dengan RM332 bilion dan Bajet 2021 dengan peruntukan RM322 bilion.

Ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata bajet kali ini memberi tumpuan kepada usaha memastikan tiada sesiapa yang tertinggal serta membina Keluarga Malaysia yang lebih utuh, tatkala mendepani cabaran global yang semakin getir.

Katanya, Bajet 2023 akan segera responsif kepada sebarang cabaran serta menyediakan bantuan komprehensif kepada Keluarga Malaysia, bukan hanya kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, orang kelainan upaya (OKU) dan semua segmen masyarakat.

Bajet itu juga bertanggungjawab menyeimbangkan dasar fiskal yang mengembang, dengan melaksanakan pembaharuan fiskal ke arah kemampanan kewangan kerajaan dalam jangka panjang.

“Bajet 2023 ialah reformis yang mengambil peluang mengubah landskap pembangunan agar lebih inklusif dan mampan, di samping membina industri lebih kukuh melalui pelaburan strategik,” katanya.

Beliau memberitahu, lebih 100 inisiatif rakyat akan direalisasikan dalam Bajet 2023 yang dikumpulkan melalui hasil input melalui prabajet 2023 dan enam kertas konsultasi awam serta beratus sesi libat urus.

Katanya, Bajet 2023 tidak menyasarkan golongan tertentu saja tetapi semua buah fikiran yang dikumpulkan diteliti dan diadun menjadi satu bajet yang disusun hasil ilham Keluarga Malaysia.

Ini termasuk RM1 bilion untuk Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia dan menyediakan peluang ekonomi kepada 50,000 isi rumah miskin tegar.

Related posts

Leave a Comment