Wajib ke sekolah mulai 1 Mei

PUTRAJAYA 28 April – Kehadiran murid-murid ke sekolah, dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), diwajibkan bermula 1 Mei ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Mohd Radzi Jidin.

Dalam satu sidang media khas hari ini, beliau berkata, pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai sebab tertentu, termasuk yang positif Covid-19.

“Jika ada murid bergejala yang hadir ke sekolah, pertama sekali, kita asingkan di bilik isolasi, jalankan ujian kendiri, dan sekiranya negatif, boleh ke kelas, dan pakai pelitup muka. Jika positif, guru akan hubungi ibu bapa jemput murid dan bawa pulang ke rumah. Itu dalam keadaan sekiranya datang ke sekolah dan bergejala.

“Bagi kehadiran guru, pegawai pengurusan dan anggota kumpulan pelaksana, kehadiran ke institusi adalah wajib. Jika ada guru bergejala, guru ini perlu melaksanakan ujian kendiri, sekiranya negatif perlu pakai pelitup muka,” katanya.

Mengenai waktu rehat, Mohd Radzi berkata, murid-murid dan guru dibenarkan untuk makan di kantin seperti biasa.

Selain itu, beliau berkata, aktiviti sukan yang melibatkan pertandingan antara sekolah, di peringkat daerah mahupun negeri juga dibenarkan seperti biasa, dengan syarat tiada individu positif yang menyertai aktiviti berkenaan.

Berkaitan pemakaian baju seragam serta tatahias diri seperti rambut dan sebagainya, kelonggaran akan terus diberikan sehingga sesi penggal persekolahan kedua yang bermula 12 Jun ini.

“Bermula 12 Jun ini, etika pemakaian, rambut dan sebagainya adalah seperti sebelum pandemik Covid-19 bermula,” katanya lagi.

Mohd Radzi berkata, bagi murid yang bersekolah asrama, aktiviti ‘outing’ dan pulang bermalam di kediaman keluarga juga turut dibenarkan, dan ibu bapa juga dibenarkan melawat anak atau jagaan mereka di asrama sekolah seperti biasa.

Related posts

Leave a Comment