61.74 peratus kes kategori dua

PUTRAJAYA 27 April – Sebanyak 61.74 peratus bersamaan 2,075 kes daripada 3,361 kes baharu dilaporkan semalam adalah pesakit Covid-19 kategori dua atau individu bergejala, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, ini diikuti kategori satu iaitu tidak bergejala dengan 1,256 kes, kategori lima (15 kes), kategori tiga (11 kes) dan empat kes lagi dalam kategori empat.

Secara keseluruhan, daripada 30 kes dalam kalangan kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 17 membabitkan individu yang mempunyai komorbid; berusia 60 tahun dan ke atas (16 kes), tidak divaksin atau belum lengkap vaksin (14 kes) dan sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (10 kes).

“Selain itu enam kes lagi membabitkan individu yang mempunyai dos penggalak serta satu kes membabitkan ibu mengandung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, perkembangan itu menjadikan sehingga kini 4,436,912 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

Beliau juga memberitahu, terdapat 101 kes berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 55 kes sah dijangkiti Covid-19 dengan 46 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi pesakit Covid-19 dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat semalam terdapat seramai 63 pesakit iaitu 35 kes disahkan Covid-19 dengan 28 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, semalam juga terdapat 180 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital iaitu 51.7 peratus atau 93 kes dalam kategori satu dan dua, serta 87 kes bagi kategori tiga hingga lima.

Sementara itu, laman sesawang COVIDNOW menunjukkan sehingga kini terdapat 61,871 kes masih aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini.

Daripada jumlah itu 60,162 pesakit Covid-19 sedang menjalani kuarantin wajib di rumah, 1,531 di hospital dan 77 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19.

Mengenai kematian di negara ini, setakat semalam terdapat 13 kes dilaporkan termasuk kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) menjadikan sehingga kini 35,520 angka korban dicatatkan akibat jangkitan berkenaan.

Sebanyak 9,484 kes sembuh dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah individu sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan adalah 4,339,521 kes.

Related posts

Leave a Comment