DORSCON jingga ke kuning 26 April

SINGAPURA 23 April – Singapura akan menukar tahap Sistem Tindak Balas Wabak Penyakit (DORSCON) daripada Jingga (sejak Februari 2020) kepada Kuning mulai 26 April, berikutan jangkitan Covid-19 tempatan semakin pulih,

Pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai Covid-19, Gan Kim Yong berkata, keadaan telah berubah “meskipun virus itu lebih mudah menular, kebanyakan jangkitan tidak teruk, hasil kadar vaksinasi yang tinggi.

Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Industri republik itu, berkata, protokol

penjagaan kesihatan yang dipermudahkan, dan SMM (Langkah Pengurusan Selamat) dijangka meminimumkan gangguan kepada kehidupan.

“Oleh itu, kini masa yang sesuai untuk menurunkan tahap DORSCON kepada kuning,” katanya pada sidang media secara maya  semalam.

Sementara itu, MTF mengumumkan TraceTogether (TT) (sama seperti MySejahtera) dan SafeEntry (SE) tidak lagi dikuatkuasakan mulai 26 April 2022.

Kebanyakan tempat tidak lagi memerlukan orang ramai mendaftar masuk menggunakan aplikasi atau token TT, kecuali acara besar membabitkan lebih 500 peserta pada satu-satu masa serta pusat hiburan malam tertentu, di mana semakan SMM Mengikut Vaksinasi (VDS) masih diperlukan ketika masuk.

Keupayaan TT dan SE akan dikekalkan bagi menjalankan semakan VDS, serta membolehkannya meningkatkan pengesanan kontak rapat dengan pantas sekiranya ia perlu berbuat demikian sebagai tindak balas kepada kemunculan varian baharu.

“Oleh itu, orang ramai amat digalakkan untuk menyimpan aplikasi TT serta token TT mereka dalam telefon,” katanya.

Related posts

Leave a Comment