Hari Raya : Jangan bebankan keluarga Malaysia

KEMERIAHAN Hari Raya semakin terasa. Maklumlah dua tahun tidak dapat berhari raya bersama akibat pandemik Covid-19. Lebih meriah apabila kakitangan awam sama ada di peringkat negeri atau pusat mendapat ‘habuan’ masing-masing.

Ada kakitangan kerajaan yang mendapat RM500, ada yang dapat RM1,000 dan ada juga yang mendapat sebulan gaji.

Begitu juga dengan golongan pesara, mereka juga mendapat habuan hari raya. Tidak ketinggalan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memohon untuk membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Diharapkan pencarum KWSP dapat memanfaatkan wang itu sebaik mungkin, sesuai dengan tujuan atau matlamat asal pengeluaran. Pastikan wang itu tidak mengalir ke tempat lain atau tergelincir daripada landasan asal.

Apa nak dikata ‘durian’ itu gugur menjelang hari raya. Sedikit sebanyak matlamat asalnya akan terpesong. Ingat RM10,000 jika diboroskan pasti cepat habis.

Semoga ‘habuan’ ini tidak mendorong pihak-pihak tertentu menaikkan harga barang keperluan atau perkhidmatan kerana lazimnya akan berlaku kenaikan itu apabila ada sesuatu imbuhan yang diberikan kerajaan kepada rakyat.

Ingatlah masih ramai Keluarga Malaysia yang ‘gigit jari’,  tidak mendapat sebarang habuan, hanya mampu menumpang kegembiraan rakan-rakan tetapi seperti orang lain, mereka yang tidak ada apa-apa ini masih ‘bernafsu’ memeriahkan hari raya.

Tidak semua dapat merasai ‘kemeriahan’ habuan ini tetapi cukuplah sekadar mereka dapat pulang ke kampung halaman, sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam – bas, kereta api atau kapal terbang.

Justeru pihak berkuasa perlu memantau situasi ini supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan atas keghairahan orang ramai bergerak ke sana sini untuk berhari raya selepas masing-masing mendapat habuan dalam bentuk wang ringgit.

Contohnya, tambang penerbangan yang didakwa melonjak sehingga membebankan pengguna serta tambang bas yang juga dikatakan naik mendadak seolah-olah inilah kesempatan untuk mengaut keuntungan selepas dua tahun dalam ‘kerugian’.

Keluarga Malaysia tidak harus dibebankan dengan kos yang melampau untuk menyambut hari raya yang dianggap istimewa tahun ini. Itu pun kita berdoa agar situasi lebih baik dengan kes-kes jangkitan dapat dikurangkan.

Selain kenaikan kos berkaitan tambang penerbangan serta barang keperluan harian, pemantauan juga perlu dilakukan terhadap hotel atau penginapan yang mungkin mengambil kesempatan mengaut keuntungan segera.

Mungkin kadar harga bilik hotel juga berubah secara tiba-tiba, seolah-olah mahu menampung kerugian sebelum ini. Benar apabila permintaan mengatasi tawaran,  kadar sewa bilik juga melonjak berbanding hari-hari biasa tetapi jangan melampau.

Berpada-padalah meletakkan harga bilik supaya kenaikannya tidak membebankan orang ramai pada musim perayaan ini.

Harus diingat, penginapan ini juga satu keperluan ketika pulang ke kampung apabila seluruh keluarga tertumpu ke rumah ibu bapa atau sanak saudara masing-masing yang mungkin tidak mampu menampung seluruh keluarga untuk bermalam.

Bagi keluarga Malaysia yang pulang ke kampung, pilihan yang ada bagi mengelak sesak di rumah ibu bapa, pilihan mereka adalah menyewa bilik hotel, homestay atau apa sahaja untuk bermalam sehari dua.

Maka janganlah dibebankan keluarga Malaysia yang ingin bersama keluarga mereka di kampung halaman atau di mana sahaja bagi memeriahkan lebaran tahun ini.

Related posts

Leave a Comment