RM4,000 hadiah istiqamah Subuh

MELAKA 19 April – Selepas hadiah basikal dan motosikal, Masjid Nur As-Sa’adah, Pengkalan Batu di sini akan menawarkan hadiah wang tunai RM4,000 kepada ahli kariah masjid yang istiqamah mengerjakan solat Subuh.

Pengerusinya, Amzah Osman berkata, antara syarat yang akan ditetapkan termasuk jemaah perlu memastikan isteri dan anak-anak hadir ke masjid untuk berjemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak dalam tempoh itu

Pemilihan juga dilihat dari segi mereka yang paling ramai membawa anggota keluarga ke masjid.

“Kita rancang laksanakan program ini selepas Hari Raya Aidilfitri ini, akan diadakan pemberian hadiah wang tunai untuk Keluarga Sakinah itu,” katanya selepas majlis Tadarus al-Quran dan penyampaian sumbangan baju raya anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (PPP) Daerah Hang Tuah Jaya pada Isnin.

Jelasnya, sebelum ini pemberian beberapa buah basikal kepada anak-anak yang cemerlang solat Subuh dan semua program yang dilaksanakan mendapat peruntukan daripada individu perseorangan dan dermawan.

“Kita akan terus menceriakan bulan Ramadan dengan pelbagai program dan aktiviti yang dapat menarik kariah untuk mengimarahkan masjid termasuk qiamullail tidak lama lagi,” katanya.

Pada Mac lalu, masjid tersebut menarik tumpuan ramai apabila menawarkan hadiah empat buah motosikal berjumlah RM16,000 serta 40 buah basikal bernilai RM20,000 kepada anak kariah yang istiqamah solat Subuh dan Isyak selama 40 hari.

Related posts

Leave a Comment