Covid-19 Malaysia 7,140

PUTRAJAYA 19 April  – Malaysia merekodkan 7,140 kes baharu Covid-19 semalam, menunjukkan peningkatan berbanding 6,623 kes kelmarin, Ahad menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,396,165.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, 6,876 kes adalah kes jangkitan tempatan, manakala 264 kes adalah kes import.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 50.96 peratus atau 3,639 individu adalah dalam kalangan pesakit Covid-19 kategori dua, diikuti kategori satu (3,458), kategori lima (15) dan masing-masing 14 kes dalam kategori tiga dan empat.

Secara keseluruhan, daripada 43 kes dalam kategori tiga hingga lima, sejumlah 26 kes membabitkan individu yang mempunyai komorbid, berumur 60 tahun ke atas (22), sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (17), tidak divaksin atau belum lengkap vaksin (14) dan ada dos penggalak (12).

Setakat ini, terdapat 96,601 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini dan daripada jumlah itu, 93,901 individu atau 97.2 peratus sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Sejumlah 2,308 kes berada di hospital, PKRC (282), ICU dan perlu alat bantuan pernafasan (68) serta tidak perlu alat bantuan pernafasan (42).

Dr Noor Hisham berkata, setakat semalam, seramai 308 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut, membabitkan 137 kes pesakit dalam kategori satu dan dua serta 171 kes dalam kategori tiga hingga lima.

Beliau turut memaklumkan, jumlah kes sembuh adalah dua kali ganda berbanding kes baharu, iaitu sebanyak 14,423 kes, menjadikan sehingga kini jumlah kes pulih yang dilaporkan di negara ini adalah sebanyak 4,264,127.

Sementara itu, Negeri Sembilan menjadi negeri terbaharu mencatatkan penggunaan katil bukan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) pada kadar atau melebihi 50 peratus semalam.

Ini menjadikan dua negeri kini mencatatkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya yang kini pada paras 51 peratus.

“Penggunaan katil bukan di wad ICU di Negeri Sembilan adalah pada 50 peratus. Penggunaan katil bagi kes kritikal atau di ICU, tiada negeri mencatatkan kadar melebihi 50 peratus, begitu juga di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC),” katanya.

Kelmarin, Perak menjadi negeri tunggal mencatatkan penggunaan katil di PKRC melebihi 50 peratus, iaitu pada kadar 56 peratus.

Related posts

Leave a Comment