MoU tamat bukan bererti PRU-15

PETALING JAYA 18 April – Penamatan tempoh perjanjian MoU gencatan politik yang berakhir selepas Julai tahun ini belum pasti akan mencetuskan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim.

Beliau yang tidak melihat polemik perjanjian MoU Transformasi Dan Kestabilan Politik  di antara koalisi itu dan kerajaan terlalu penting untuk dibincangkan ketika ini.

Jelas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, perkara itu (PRU) terpulang kepada pendirian parti-parti kerajaan dan pembangkang untuk menentukan bentuk keutamaan bersama yang perlu dicapai selepas tempoh perjanjian MoU berakhir.

MoU itu sendiri katanya hanya sekadar wahana mencari jalan menyelamatkan keadaan dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Saya tidak fikir ini (polemik MoU) terlalu penting untuk PH kerana dahulu PH setuju bagi menghormati penekanan kuat Yang di-Pertuan Agong terhadap keperluan kerjasama di antara parti kerajaan dan pembangkang tanpa mengira siapa pun Perdana Menteri.

Daripada titik tolak itu, kita cerakinkan beberapa isu mengikut keutamaan termasuk usaha menangani Covid-19, masalah kemiskinan dan tanmereformasikan Parlimen. “Saya tidak katakan rakyat puas hati sepenuhnya, tetapi kita tidak boleh nafikan kejayaannya atas desakan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu berkata demikian dalam temu bual khas bersama Sinar Harian, The Vibes dan Malaysiakini di Pejabat Presiden PKR di Jalan Gasing, di sini.

Beliau mengulas keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini yang membuat beberapa ketetapan termasuk kedudukan MoU antara kerajaan dengan PH.

UMNO turut menetapkan MoU yang akan berakhir 31 Julai depan itu tidak akan diteruskan lagi bagi membuka cadangan pembubaran Parlimen oleh kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Anwar mengakui tuntutan penamatan MoU dan pelaksanaan PRU15 segera sememangnya dilaungkan oleh UMNO dan mendakwa parti itu mula angkuh dan merasakan mereka mampu menang semua pilihan raya selepas kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, Anwar yakin UMNO belum tentu menang pada PRU15 memandangkan pola dan corak sokongan rakyat mungkin berbeza dengan mereka.

Katanya, UMNO hanya boleh memberi pendapat dan tidak boleh anggap diri sebagai pemerintah yang menentukan segala-galanya kerana parti itu hanya mempunyai 42 kerusi Parlimen.

“Saya hendak nasihatkan mereka bahawa dalam mana-mana kerajaan, kita harus lihat kekuatan kita dan kena terima kenyataan bahawa rundingan MoU adalah di antara PH dan Perdana Menteri serta pasukan dalam kerajaannya,” katanya.

PH juga katanya akan memastikan perjanjian itu dipenuhi sehingga akhir Julai ini dan bersedia berunding sekiranya mahu diteruskan.

Related posts

Leave a Comment