366,295 kanak-kanak lengkap vaksinasi

PUTRAJAYA 17 April – Sebanyak 1,403,498 kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun atau 39.5 peratus daripada populasi dalam kumpulan umur ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat semalam.

Bagi tempoh yang sama, sebanyak 366,295 kanak-kanak atau 10.3 peratus daripada kumpulan ini telah menerima vaksin lengkap di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids).

Menurut laman web COVIDNOW, sebanyak 2,871,425 remaja berumur 12 hingga 17 tahun atau 92.3 peratus telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,973,462 atau 95.6 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam kalangan populasi dewasa pula sebanyak 4,456 orang lagi tampil mendapatkan dos penggalak semalam menjadikan 15,970,302 individu atau 67.9 peratus telah menerima suntikan dos itu.

Manakala 22,960,578 atau 97.6 peratus telah melengkapkan dos kedua mereka

dan 23,237,257 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin Covid-19.

Semalam 79,398 dos vaksin diberikan, selain dos penggalak, turut melibatkan 59,818 dos untuk suntikan kedua dan 15,124 dos untuk suntikan pertama, menjadikan jumlah kumulatif dos yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjumlah 69,570,045.

Sementara itu menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 12 kematian dilaporkan semalam dengan Johor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu tiga, diikuti Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan dengan masing-masing dua kes.

Pulau Pinang, Sabah dan Selangor pula masing-masing merekodkan satu kes.

Related posts

Leave a Comment