Rentas negeri Sydney Melbourne

SYDNEY: Aktiviti rentas negeri Victoria dan New South Wales dibenarkan hari ini, yang membolehkan Sydney dan Melbourne membuka sempadan untuk kehadiran individu yang sudah lengkap divaksin.
Berikutan program imunisasi berjalan dengan baik ditambah bilangan kes semakin rendah di New South Wales dan Sydney, penduduk akan dibenarkan memasuki Victoria dan Melbourne tanpa kuarantin, kali pertama selepas lebih dari tiga bulan.
Bagaimanapun, pengembara dari Melbourne yang ingin memasuki Sydney, dikehendaki menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu.
Jangkitan harian di Victoria dilaporkan meningkat kepada 1,841 semalam, berbanding 1,749 sehari sebelumnya, manakala 283 kes dilaporkan di New South Wales, lebih rendah berbanding bulan lalu.
Kelonggaran di sempadan dilaksanakan menjelang Victoria menamatkan sekatan di ibu negerinya, Melbourne, Jumaat lalu, berikutan kadar vaksinasi penduduk berusia 16 tahun ke atas mencapai 70 peratus.
Lebih banyak sekatan akan dilonggarkan apabila kadar melepasi sehingga 90 peratus.
Menjelang Jumaat ini, lima juta penduduk Melbourne sudah menjalani perintah berkurung selama 262 hari sejak Mac 2020, di mana media Australia melaporkan ia melebihi sekatan 234 hari di Buenos Aires, Argentina.
Australia bebas wabak Covid-19 hampir sepanjang tahun ini hingga kemunculan varian Delta bermula di Sydney pada Jun lalu dan merebak ke negeri jiran Victoria, manakala negeri lain bebas jangkitan atau hanya mencatatkan kes jangkitan yang rendah.
Sydney dan Canberra sudah menarik perintah berkurung minggu lalu, selepas berjaya mencapai sasaran vaksinasi.
Walaupun berdepan wabak Delta, angka Covid-19 Australia jauh lebih rendah berbanding negara maju lain iaitu sekitar 149,000 kes dan 1,577 kematian.

Related posts

Leave a Comment