BERAKAS 16 April – Kes jangkitan harian Covid-19 di Brunei Darussalam naik semula kepada 210 berbanding 172 semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 139,847.
Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 175 adalah hasil Ujian ART dan 35 kes adalah hasil daripada 1,071 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam masa 24 jam lalu.
Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata terdapat tiga kes dalam Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU). Tiada kes kategori 4.
Sebanyak 387 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 138,167 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,463 kes, iaitu 48 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,415 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.
Bagi program vaksinasi pula, sebanyak 9,490 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun telah diberi vaksin Covid-19 semalam atau 22.1 peratus daripada populasi kumpulan itu.