KUANTAN 11 Dis. – Pas mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Dr Aliakbar Gulasan, memberikan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengumumkan demikian berkata, keputusan itu dibuat melalui perbincangan, perundingan dan maklum balas Presiden Pas Abdul Hadi Awang serta pada mesyuarat PN sebelum ini.
Keputusan itu bertentangan dengan kenyataan dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bahawa ADUN Karambunai tidak akan menyertai kerajaan Sabah
“Tiada isu kerana kerusi DUN Karambunai dimenangi Pas,” kata Tuan Ibrahim ketika sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Katanya, walaupun parti itu tidak bersama pembentukan kabinet Sabah yang diumumkan serta pelantikan menteri, tetapi Pas menyokong kepemimpinan Hajiji.
“Dengan pengumuman ini, saya yakin hubungan baik Aliakbar dan Hajiji memudahkan beliau melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai ADUN yang dipilih rakyat di DUN Karambunai.
“Saya juga memaklumkan secara rasmi dengan pendirian parti ini yang turut dimaklumkan Aliakbar sendiri dan kita harapkan usaha ini akan mengukuhkan kerajaan Sabah dari segi sokongan kepada kepimpinan Hajiji.
“Insya-Allah, kita yakin dengan pengalaman Ketua Menteri mentadbir negeri sebelum ini,” katanya.
Sementara itu di KOTA KINABALU Sinar Harian melaporkan, Dr Aliakbar yang juga Pesuruhjaya Pas Sabah berkata, pimpinan PN telah menyerahkan kepada Pas untuk menentukan arah sokongan parti di negeri itu.
“Memandangkan saya sudah bekerja selama lima tahun di bawah Ketua Menteri, jadi saya agak selesa dan serasi dengan beliau. Hubungan pun rapat, ditambah pula dengan usaha kita untuk meneruskan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Jadi perkara ini telahpun dimaklumkan kepada Ketua Menteri sejak awal, dan kita juga telah menghantar surat kepada beliau pada 9 Disember lalu untuk menyatakan sokongan,” katanya ketika ketika dihubungi Sinar Harian..
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan statusnya susulan kekeliruan yang timbul ekoran kenyataan Muhyiddin yang mengandaikan bahawa Aliakbar sebagai pembangkang dalam kerajaan Sabah.
Aliakbar dalam pada itu berkata, beliau sebenarnya sudah bertemu Ketua Menteri sebelum ini secara peribadi.
Sebelum ini, Aliakbar yang merupakan ADUN Dilantik, berjaya memenangi kerusi DUN Karambunai dengan memperoleh 7,054 undi dalam persaingan 11 penjuru.
Nnnn
