Gerai mi tonggek diarah tutup

PUTRAJAYA 16 April – Kementerian Kesihatan (KKM) mula bertindak terhadap peniaga Bazar Ramadan apabila Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengarahkan penutupan gerai mi tonggek berikutan didapati tidak bersih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan penguatkuasaan diambil selepas BKKM menjalankan siasatan dan arahan penutupan itu mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Pemilik gerai Bazar Ramadan Presint 13 itu perlu mengambil langkah mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan beroperasi semula.

“Selain itu, kompaun turut dikeluarkan terhadap seorang pekerja yang didapati tidak mengambil suntikan antitifiod,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengeluarkan notis amaran kepada sebuah gerai makanan di bazar terbabit susulan isu kebersihan makanan seperti yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar, Mohd Helmi Abdul Hamid dilaporkan berkata, notis itu dikeluarkan di bawah UUK 30(1)(c), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WP Putrajaya) 2016.

Dr Noor Hisham berkata, tiga sampel turut diambil di gerai terbabit bagi tujuan analisis mikroorganisma dan bendasing.

Siasatan oleh pihak KKM juga mendapati peniaga itu mempunyai sebuah premis makanan yang beroperasi di Cyberjaya di mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar berkenaan.

Mengenai aduan pencemaran kuih limas, beliau memaklumkan, KKM sudah membuka kertas siasatan ke atas pengeluar kuih limas terbabit bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, sehingga kini melalui Operasi Ramadan 2022 yang sudah dijalankan di seluruh negara, sebanyak 4,362 premis bazar Ramadan diperiksa.

Sebanyak 77 notis kompaun dengan nilai RM38,500 dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Di samping itu, sebanyak 178 sampel makanan juga sudah diambil untuk dianalisis.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat,” katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook BKKM di pautan, www.facebook.com/bkkmhq.

Related posts

Leave a Comment