Malaysia lepasi kemuncak Omicron

KUALA LUMPUR 14 April – Malaysia sudah melepasi kemuncak varian Omicron, selari dengan unjuran Kementerian Kesihatan iaitu pada penghujung Mac lepas, kata menterinya, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata,, selepas dua minggu memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lepas, keadaan jangkitan Covid-19 di negara ini terus stabil, termasuk penurunan kadar kematian, kes aktif, serta kadar kebolehjangkitan (RT).

Biar pun lebih banyak kelonggaran ketika ini, beliau mengingatkan bahawa masih terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti, untuk terus memastikan jangkitan Covid-19 terus stabil.

Katanya, setelah dua minggu,  beberapa kelonggaran dan juga protokol baharu terutamanya yang tidak libatkan kuarantin bagi pengembara,  keadaan hari ini semakin stabil, di mana kes aktif Covid-19 telah turun kepada 120,592,.

“Kalau lihat dari segi nilai RT atau angka kebolehjangkitan, ia di bawah paras 1, atau lebih tepat di bawah paras 0.9, untuk beberapa hari lepas, dan ini menunjukkan trend jangkitan semakin stabil dan menurun.

Kalau lihat dari segi penggunaan fasiliti COVID-19, sejak beberapa minggu lepas turun, dan ini adalah selari dengan unjuran KKM yang telah saya umumkan pada awal bulan Feb, kita akan lihat kemuncak Omicron pada akhir Mac,” katanya lagi.

Jika keadaan terus menjadi lebih baik, Khairy berkata, berkemungkinan besar kerajaan dengan nasihat KKM akan terus membuat beberapa lagi kelonggaran.

Namun, buat masa ini, beliau mengingatkan semua pihak bahawa masih ada SOP yang perlu dipatuhi, seperti pemakaian pelitup muka di tempat awam, dan menggunakan MySejahtera untuk mendaftar masuk di tempat-tempat tertentu.

Sementara itu, Khairy berkata, pengesanan kontak rapat MySejahtera masih relevan dan bernilai dalam usaha mengawal jangkitan Covid-19.

“Kita dapati MySejahtera masih lagi ada nilainya sebagai satu alat untuk pengesanan kontak. Oleh kerana kita dah lepasi puncak Omicron, dan sekarang dalam fasa peralihan, KKM sedang pantau pattern jangkitan, dan kita akan buat keputusan dalam seminggu dua, nak teruskan atau tidak pengesanan status,” katanya lagi.

Mengenai pandangan bahawa MySejahtera tidak tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), Khairy berkata, pengurusan data aplikasi berkenaan masih mematuhi keperluan akta tersebut.

Buat masa kini, beliau berkata, perbincangan sedang dilakukan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, jika perlu membuat pematuhan secara menyeluruh.

Related posts

Leave a Comment