Syor dos penggalak kedua

KUALA LUMPUR 14 April – Tidak wajib tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan golongan berusia 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi untuk mendapat dos penggalak kedua.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, saranan itu adalah berdasarkan nasihat Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), selepas mereka meneliti kajian saintifik, kajian kohort, serta amalan di negara-negara lain.

Katanya, berdasarkan kajian tersebut, ia menunjukkan individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi seperti penyakit paru-paru, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, penyakit hati dan diabetis, berisiko lebih tinggi untuk mendapat gejala serius dan kematian dalam Covid-19.

“Individu berumur 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi boleh diberikan dos penggalak kedua dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.

“Ini saya nak tegaskan bahawa ia tidak wajib, tetapi pilihan kepada mereka, individu 60 tahun ke atas can go for second booster. Kita akan umum bagaimana nak buat. Ini hanya option, tidaklah kita buat program seperti PICK dahulu,” katanya dalam sidang media khas di Parlimen hari ini.

Khairy berkata, golongan berusia 60 tahun ke atas yang tidak mempunyai komorbiditi juga boleh berbuat demikian, selepas mereka mendapat pandangan dari pengamal perubatan.

Selain itu, Khairy berkata, individu berusia 12 tahun ke atas, yang mempunyai imunokompromi di tahap sederhana dan teruk boleh diberikan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua.

Katanya, pelaksanaan syor terbaharu itu tidak akan menjejaskan status vaksinasi lengkap individu berisiko tinggi yang tidak mengambil dos penggalak kedua tersebut.

Beliau juga memaklumkan, Kementerian Kesihatan bersedia untuk menerima permohonan dos penggalak bagi mereka yang ingin ke negara-negara yang tidak mengiktiraf vaksin primer tertentu.

Related posts

Leave a Comment