KUALA LUMPUR 11 April – Perbincangan Pakatan Harapan (PH) bersama Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) pagi tadi terarah kepada empat perkara ‘pokok’.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Madius Tangau, menerusi kenyataan bersama berkata ia meliputi pindaan Perlembagaan Persekutuan dan usaha menggubal Akta Antilompat Parti.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat yang berlangsung di Parlimen membangkitkan keperluan untuk memperhalusi pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, berhubung hak berpersatuan supaya dihadkan kepada Rang Undang-Undang (RUU) berhubung larangan melompat parti.
Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan diusahakan penyelesaian, supaya selaras semangat RUU Antilompat Parti.
Pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, membabitkan semua parti. Ahli jawatankuasa ini ditugaskan meneliti, memperhalusi dan mencadangkan draf pindaan Perlembagaan serta RUU Anti Lompat Parti ke Jemaah Menteri dalam tempoh sebulan.
Pindaan Perlembagaan dan RUU Antilompat Parti yang dipersetujui kedua-dua pihak akan dibentang serta diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum penghujung Mei depan.
Keempat-empat pemimpin yang mewakili Majlis Presiden PH itu turut mengulangi pendirian bahawa RUU Antilompat Parti adalah antara syarat utama memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, antara kerajaan dan pembangkang.
Sehubungan itu, kenyataan itu menyebut, PH komited terhadap proses untuk memastikan pindaan Perlembagaan dan RUU Antilompat Parti berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen.
Ini demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia.
