8 tawar diri Naib Presiden PKR

KUALA LUMPUR 11 April – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR telah menerima lapan nama yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan yang bakal berlangsung bulan depan.

Terkini menawarkan diri adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang  juga Pengarah Komunikasi PKR yang mengemukakan pencalonan bertanding jawatan itu pada pukul 12.27 tengah hari tadi.

Setakat ini tiada penyandang yang menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden itu selepas Rafizi Ramli mengemukakan pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden.

Selain Rafizi, Naib Presiden selepas pemilihan lalu adalah Tian Chua yang mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan kali ini; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang meletak jawatan pada 2018.

Dua lagi, Zuraida Kamaruddin meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar yang memilih menjadi Ahli Parlimen Bebas menyokong Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa, mengesahkan menerima permohonan Fahmi melalui aplikasi ADIL.

Antara pemimpin PKR lain yang sudah mengumumkan untuk merebut jawatan naib presiden adalah Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; bekas Ahli Parlimen Kapar, Manivannan Gowin dan Ketua PKR Cawangan Kota Raja, Dr Gunaraj George.

Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh juga disebut-sebut bakal bertanding merebut jawatan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment