Kecewa, sedih Anwar label pengkhianat

SEREMBAN 9 Ogos – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan Dr Mohamad Rafie Ab Malek, kecewa dilabel  ‘pengkhianat’ oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim kerana bertanding atas tiket Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bekas pemimpin PKR Cabang Seremban itu berkata, gelaran sedemikian tidak sepatutnya timbul memandangkan beliau antara individu yang mengasaskan PKR serta masih ada ketika ini, berbanding ramai lagi yang sudah berpindah ke parti lain.

Beliau yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan berkata, gelaran sedemikian tidak sepatutnya timbul memandangkan beliau antara individu yang mengasaskan PKR serta masih ada ketika ini, berbanding ramai lagi yang sudah berpindah ke parti lain.

“Kenapa (Anwar) label saya pengkhianat, …saya bukan melakukan apa-apa kesalahan atau perkara tidak baik, Perlembagaan membenarkannya (bertanding atas tiket Bebas).

“Saya antara pengasas (PKR) yang masih ada kerana ramai yang sudah tiada dan keluar parti.

Saya sedih kerana masa dia (Anwar) susah, saya yang membantu keseluruhannya (perjuangan PKR) termasuk tenaga dan wang ringgit. Sekarang dia senang, sesuka hati label orang lain dengan perkataan tidak elok,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Seremban 2, hari ini.

Anwar yang juga Perdana Menteri ketika ceramah Jelajah Perpaduan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi malam tadi, menegaskan parti itu akan menghukum ahli yang mengkhianati perjuangan PKR dalam PRN ini.

Mengaitkan tindakan pengkhianatan parti dengan sejarah budaya Melayu, Raja Mendeliar dan Si Kitol, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, perbuatan mereka itu tidak akan diampunkan.

Anwar mengambil contoh dua kerusi iaitu DUN Ampangan yang ditandingi Dr Mohamad Rafie dan Hulu Kelang ditandingi Mohamed Azmin Ali.

Dalam pada itu, Mohamad Rafie berkata, Perdana Menteri perlu menghormati proses demokrasi dalam negara yang membenarkan sesiapa saja untuk mengambil bahagian dalam mana-mana pilihan raya.

Beliau berkata, keputusan bertanding Bebas bukan bermakna beliau tidak menyokong Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang.

“Saya hanya individu kerdil yang hanya mahu tawarkan diri bertanding untuk berkhidmat kepada rakyat di Ampangan.

“Janganlah label seolah-olah saya tak buat apa-apa kebaikan. Yang saya tolong selama ini apa? Atau adakah saya tak pernah berjasa kepada parti dan Anwar?

“Sejujurnya, saya tak mahu berbalah dengan dia (Anwar), tapi saya memohon jangan sewenang-wenangnya memanggil seseorang sebagai pengkhianat,” katanya yang juga penyandang kerusi DUN Ampangan.

Related posts

Leave a Comment