Tidak berasas sengaja dibakar

NILAI 22 Feb.  – Dakwaan bahawa gudang dan kedai karpet di Nilai 3 sengaja dibakar bagi mendapatkan pampasan insurans. semalam adalah tidak berasas.

Pengarah urusan J Rajesh, 40-an berkata, tuduhan itu sangat tidak berasas, lebih-lebih lagi pihaknya baru sahaja membawa masuk stok bagi jualan Aidilfitri.

“Sekarang ini adalah waktu paling terbaik untuk peniaga karpet seperti kami dapatkan keuntungan berganda kerana orang dah mula buat persiapan raya,” katanya  seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurutnya, boleh dikatakan setiap hari ada kontena membawa masuk karpet baharu ke premisnya untuk jualan sempena Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun katanya, insiden yang berlaku itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk bangkit semula.

“Kalau tengok di semua platform jualan kami di media sosial, kita rancak mengajak orang ramai datang ke kedai.

“Jadi sangat tidak logik kita bakar kedai hanya semata-mata nak tuntut insurans dan saya tahu macam-macam tuduhan dilemparkan kepada kami,” katanya yang

sudah 18 tahun terlibat dalam perniagaan itu.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa kebakaran itu disebabkan perbuatan khianat dan menyerahkan kepada pihak bomba untuk melakukan siasatan lanjut.

Selain itu jelasnya, insiden kali ini tidak sama dengan kejadian pada 2015 yang menyebabkan pihaknya menanggung kerugian RM90 juta.

“Pada tahun 2015, kilang kami terbakar tetapi kali ini kedai dan gudang yang melibatkan kerugian dianggarkan RM30 juta.

“Pada waktu itu pun macam-macam orang buat tuduhan, tapi kita ambil kata-kata positif saja. Pelanggan setia kami, boleh datang ke premis kami yang bersebelahan untuk buat pembelian,” katanya.i

Sementara itu, Sinar Harian juga melaporkan operasi memadam kebakaran, memasuki hari kedua.

Komander Operasi, Bakarya Mohd Salleh, berkata pihaknya meneruskan operasi lebih 24 jam tanpa henti dan dijangka berlarutan hingga petang ini, susulan

bahan yang terbakar dalam keadaan bergulung atau bertindih banyak lapisan dan tidak terkena air.

Bagi memudahkan kerja memadam api, pihaknya menghubungi khidmat jengkaut pukul  2 petang semalam.

Ia bagi mengangkut permaidani yang sudah atau belum terbakar keluar dari lokasi bagi memudahkan proses memadam api kerana air tidak sampai.

Katanya, pihaknya turut mendapat bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Cyberjaya dan KLIA yang tiba kira-kira pukul 2 petang semalam manakala, pasukan dari Selangor dibenarkan pulang ke BBP masing-masing pukul 8 malam tadi.

Related posts

Leave a Comment