346 kes baharu Brunei Darussalam

BERAKAS 7 April – Sebanyak 346 kes baharu direkodkan hari ini, menunjukkan trend penurunan berbanding 418 semalam dan 447 kes sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar berkata, dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes kini 137,585.

Daripada jumlah kes baharu itu, 320 adalah hasil pengesanan Ujian Pantas Antigen (ART) dan 26 kes lagi adalah daripada 632 Ujian Makmal RT-PCR yang dilakukan dalam tempoh masa 24 jam yang lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 Brunei Darussalam di sini beliau juga memaklumkan terdapat dua kes masing-masing bagi kategori 4 dan kategori 5.

Sebanyak 523 dilaporkan sembuh hari ini yang membawa kepada jumlah pesakit pulih 134,632 manakala jumlah kes aktif sebanyak 2,739.

Sebanyak 51 kes aktif sedang menerima rawatan di Pusat-pusat Pengasingan dan hospital-hospital, manakala seramai 2,688 kes positif, kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu 761 dos vaksin diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan 2,664 orang  atau 6.2 peratus daripada populasi kanak-kanak.

Related posts

Leave a Comment