Kes meningkat selepas Aidilfitri?

PUTRAJAYA 2 Mei – Penularan Covid-19 dijangka meningkat selepas musim perayaan Aidilfitri ini, namun majoriti adalah kes Kategori Satu dan Dua, kata

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata hasil pemerhatian terhadap trend kes Covid-19 di negara ini, pihaknya mendapati 99.5 peratus adalah jangkitan Kategori Satu serta Dua, iaitu tiada gejala dan bergejala ringan.

Malah, beliau berkata, peratusan penggunaan alat bantuan pernafasan oleh pesakit Covid-19 juga menunjukkan trend menurun.

“Kita menjangkakan selepas raya, kes berkemungkinan akan meningkat tetapi kebanyakannya adalah jangkitan Kategori Satu dan Dua.

Kemasukan kes ke hospital, wad Unit Rawatan Rapi (ICU) serta penggunaan alat bantuan pernafasan berkurangan, malah angka harian kematian dilaporkan juga kini satu digit saja,” katanya pada sidang media selepas melawat pesakit serta kakitangan kesihatan di Hospital Putrajaya sempena sambutan Aidilfitri, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mendapati angka harian Covid-19 selepas sempadan negara dibuka semula mulai 1 April lalu, mencatat trend menurun dengan 1,503 kes baharu, semalam.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan sudah ada imuniti kelompok dalam masyarakat.

Sementara itu dalam kenyataan mingguannya, Dr Noor Hisham berkata, sepanjang tempoh Minggu Epid ke-17 (ME 17/2022) dari 24 hingga 30 April lalu, bilangan kes baharu menurun sebanyak 53.1 peratus kepada 20,937 jangkitan berbanding 44,665 pada ME 16/2022.

Beliau memaklumkan, bilangan kes tempatan menurun sebanyak 52.8 peratus (daripada 44,193 kepada 20,876 kes), manakala kes import pula menurun sebanyak 87.1 peratus (daripada 472 kepada 61 kes).

Katanya, bilangan kematian pada ME 17/2022 turut menurun sebanyak 31.7 peratus kepada 56 kes berbanding 82 pada ME 16/2022.

“Bilangan kes aktif pada ME 17/2022 menurun sebanyak 35.3 peratus kepada 412,555 kes berbanding 637,626 pada ME 16/2022.

“Jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 pula mencecah 4,448,004 kes dengan 45,506 kes aktif.

“Bilangan kes sembuh pada ME 17/2022 menurun sebanyak 21.9 peratus kepada 56,352 kes berbanding 72,128 pada ME 16/2022. Jumlah kumulatif kes sembuh mencecah 4,366,951,” katanya.

Setakat ME 17/2022, jumlah kematian akibat Covid-19 ialah sebanyak 35,547 kes, manakala kumulatif kluster adalah 7,010 dengan 84 kluster masih aktif.

Dr Noor Hisham berkata, bilangan kehadiran pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) juga menurun sebanyak 37.1 peratus pada ME 17/2022.

Bilangan kes baharu Covid-19 yang menjalani pemantauan di rumah juga menurun sebanyak 34.7 peratus.

Selain itu, bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital turut menurun sebanyak 33.8 peratus.

Related posts

Leave a Comment