981 kanak-kanak Brunei ambil vaksin

BERAKAS 3 April – Sebanyak 981 atau 2.3 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun telah mendapatkan dos pertama vaksinasi Covid-19 setakat semalam sejak dimulakan kelmarin, kata Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar.

Beliau memberitahu, setakat ini tidak ada kejadian sampingan dilaporkan berikutan pengambilan vaksin berkenaan.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19, di sini beliau memberitahu, vaksin kedua boleh diperoleh selepas tiga hingga empat minggu dos pertama diambil.

Sementara itu, Brunei Darussalam menambah jumlah kes jangkitan dengan merekodkan 554 kes baharu hari ini berbanding 515 semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 135,974.

Beliau berkata, daripada 554 kes baharu itu sebanyak 490 adalah hasil Ujian ART yang telah dimuatnaikkan ke aplikasi BruHealth.

Sebanyak 54 lagi adalah dari 1,663 hasil Ujian Makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Beliau juga memaklumkan, 887 kes disahkan sembuh pada hari ini, yang membawa kepada jumlah pesakit pulih 131,984 manakala jumlah kes aktif sebanyak 3,777.

Sebanyak 68 kes aktif sedang menerima rawatan di Pusat-pusat Pengasingan dan hospital-hospital, manakala seramai 3,709 kes positif, kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat semalam, sebanyak 61.9 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin.

Related posts

Leave a Comment