SINGAPURA – Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura mengeluarkan notis kepada 10 syarikat berdaftar di Singapura yang menjalankan perniagaan minyak kelapa sawit dan perhutanan.
Notis di bawah Seksyen 10 Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura (THPA) adalah bagi mendapatkan maklumat mengenai kemungkinan kaitan mereka dengan kebakaran hutan di Indonesia serta pencemaran jerebu rentas sempadan.
Dalam satu kenyataan semalam, NEA berkata, peruntukan itu menghendaki syarikat berkenaan memberikan butiran mengenai konsesi tanah mereka, hubungan korporat serta langkah yang diambil untuk mencegah atau memadam kebakaran sepanjang musim kering.
NEA berkata 10 syarikat itu sama ada memiliki konsesi tanah di Indonesia atau mempunyai syarikat berkaitan yang memegang konsesi sedemikian.
Antara syarikat berkenaan ialah Asia Pulp & Paper Company Ltd, Bumitama Agri Ltd, Golden Agri International Pte Ltd, First Resources Ltd dan Wilmar International Ltd.
NEA komited sepenuhnya untuk mengenal pasti dan memastikan semua syarikat tempatan atau asing yang menyebabkan atau menyumbang kepada jerebu rentas sempadan di Singapura dipertanggungjawabkan di bawah THPA.
Tindakan terbaharu itu menyusuli pengeluaran notis langkah pencegahan (PMN) oleh NEA kepada 10 syarikat di Indonesia berhubung dakwaan pembabitan mereka dalam kebakaran di Sumatera dan Kalimantan.
PMN itu menghendaki syarikat berkenaan mengerahkan anggota pemadam kebakaran untuk memadam kebakaran di tanah milik atau yang diduduki mereka serta mencegah api daripada merebak.
Kesemua syarikat berkenaan juga perlu menghentikan atau tidak melakukan aktiviti pembakaran serta mengemukakan pelan tindakan kepada NEA yang memperincikan langkah untuk memadam kebakaran dan mencegah kejadian itu daripada berulang.
Sementara itu, kualiti udara di Singapura merosot sepanjang malam semalam (23 Oktober), dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 24 jam mencecah paras tidak sihat di kelima-lima bahagian pada awal pagi ini.
Setakat pukul 7 pagi, bacaan PSI 24 jam adalah antara 115 hingga 142, dengan bacaan tertinggi dicatatkan di bahagian barat.
Bacaan PM2.5 sejam turut berada pada paras meningkat di seluruh Singapura, antara 68 di bahagian timur hingga 107 di bahagian barat.
