Lima lagi kluster baharu dikesan

PUTRAJAYA 10 Jan. – Lima lagi kluster baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau kini ialah 254 dan daripada jumlah itu, sebanyak 65 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lima kluster baharu itu adalah Kluster Tapak Bina Cyber, Kluster Texmile dan Kluster Jalan Sibuga serta dua kluster rentas negeri iaitu Kluster Alor Durian dan Kluster Wakaf Lanas.

Kluster Tapak Bina Cyber dikesan melibatkan daerah Sepang, Petaling, Klang dan Hulu Langat di Selangor mencatat 67 kes positif Covid-19; Kluster Texmile di Gombak, Selangor (19 kes), manakala Kluster Jalan Sibuga di Sandakan, Sabah mencatat sembilan kes.

Selain itu, Kluster Alor Durian di Tumpat dan Kota Bahru, Kelantan mencatat 17 kes dan Kluster Wakaf Lanas di Pasir Puteh, Kelantan dengan 11 kes.

Dr Noor Hisham berkata kluster yang tamat hari ini ialah Kluster Bandar Impian, Kluster Indah Mas, Kluster Kubota, Kluster Batu Tiga, Kluster Rumah Merah, Kluster Sri Jujur, dan Kluster PTS Sibuga. 

Related posts

Leave a Comment