14,692 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 3 April – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan, pertambahan sebanyak 14,692 kes positif baharu Covid-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan 4,234,087 kes jangkitan wabak itu setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 14,474 kes adalah penularan tempatan membabitkan 13,835 warganegara dan 639 bukan warganegara manakala daripada 218 kes import, 209 adalah rakyat Malaysia dan sembilan lagi warga asing.

Katanya, sebanyak 261 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 153 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada 14,692 kes harian yang dilaporkan semalam, sebahagian besar dalam Kategori 1 iaitu 8,557 kes (58.24 peratus); diikuti Kategori 2 dengan 6,056 kes (41.22 peratus); Kategori 3 dengan 27 kes (0.18 peratus); Kategori 4 dengan 19 kes (0.13 peratus); dan Kategori 5 dengan 33 kes (0.23 peratus).

Sebanyak 79 kes baharu Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang dilaporkan semalam membabitkan 19 kes (24.06 peratus) individu tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 42 kes (53.16 peratus) individu sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum mengambil dos penggalak dan 18 kes (22.78 peratus) sudah menerima dos penggalak.

Selain itu, sebanyak 46 kes (58.23 peratus) terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas; dan 42 kes (53.16 peratus) mempunyai komorbid.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 20,383 kes sembuh direkodkan, menyumbang kepada sejumlah 3,997,786 kes kumulatif atau 94.4 peratus daripada keseluruhan kes.

KKM turut mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 menjadikan keseluruhan kluster direkodkan sebanyak 6,940 kluster; dengan 6,750 kluster sudah ditamatkan; dan 190 kluster masih aktif.

Sementara itu, penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19 iaitu Katil Kes Kritikal atau ICU, dua negeri mencatatkan peratusan pengisian lebih 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (67 daripada 40 katil yang diperuntukkan) dan Selangor (50 daripada 86 katil diperuntukkan).

Dr Noor Hisham berkata, dua negeri juga mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi Katil Bukan ICU iaitu Putrajaya (81 peratus) dan Selangor (59 peratus) manakala pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 153 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 17 peratus.

Sebanyak 663 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 285 kes (43.0 peratus) adalah Kategori 3, 4, dan 5; dan 378 kes (57.0 peratus) adalah kategori 1 dan 2,.

Related posts

Leave a Comment