Serangan persepsi rosakkan muafakat UMNO, Pas, Bersatu

BERSATU kesal dengan keputusan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam, yang menyaksikan Menteri Besar (MB) Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti menerusi usul undi percaya.

Namun sesal kemudian tiada gunanya. Hakikatnya siapa pun yang berada di kedudukan Bersatu akan berasa kesal kerana situasi ini boleh dielak sekiranya semua pihak duduk berbincang bukannya masing-masing mahu menunjukkan ‘kehebatan dan keangkuhan’.

Sudah lama ‘isyarat’ dihantar berhubung erti persefahaman dalam politik tetapi sama ada ia tidak difahami atau sengaja tidak memahami.

Ini adalah urusan politik. Dalam dunia politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Bila-bila masa sahaja kawan menjadi lawan dan lawan menjadi kawan. Tetapi janganlah sampai sokong membawa rebah dan meresahkan rakyat yang sudah letih menghadapi ‘virus politik’.

Dalam politik ada sahaja perkara yang tersurat dan tersirat. Orang politik kena tahu ‘membaca’ gerak geri kawan dan lawan supaya mereka boleh bertindak untuk mengelak kerosakan. Kata orang terkilat ikan di dalam air sudah tahu jantan betinanya.

Apa pun ‘kerosakan’ sudah berlaku. Nasi sudah menjadi bubur. MB ‘dimalukan’ ‘rakan kongsi kerajaan’ Perikatan Nasional (PN). UMNO bukan komponen PN. Seperti di peringkat pusat, UMNO @ BN hanyalah rakan kongsi kecuali Pas yang berada dalam kedua-duanya PN dan MN.

Justeru dalam menghadapi situasi ini, komponen PN dan MN perlu menghentikan kenyataan yang bersifat provokasi dan sinis. Jangan cepat membuat andaian yang boleh menjerumuskan diri dalam kancah pertikaian yang lebih parah.

Ingatlah di luar ada sahaja pihak yang berperanan sebagai batu api atau istilah sekarang cyber trooper. Mereka ini bersedia memainkan peranan untuk ‘membakar’ apa sahaja demi kepentingan politik mereka.

Kenyataan yang popular berhubung usul undi percaya ini adalah Melayu jatuhkan Melayu, UMNO dan DAP bersekongkol menjatuhkan kerajaan yang diterajui Melayu dan pelbagai persepsi negatif.

Amat malang ada cerdik pandai politik tiba-tiba bebal menunjukkan kebodohan masing-masing. Mereka menari mengikut rentak musuh yang sentiasa mencari jalan menghancurkan pemuafakatan.

Matlamat parti politik dalam isu ini mungkin sama tetapi niat mereka berbeza. Bukan bertujuan memihak kepada mana-mana parti politik tetapi ketika ini banyak pihak yang dulu bercakap soal perkauman tiba-tiba kenyataan mereka juga ke arah berbaur perkauman.

UMNO pastinya mempunyai tujuan tertentu – mungkin mahu ‘mengajar’ Bersatu tentang kerjasama politik sedangkan bagi DAP, usul itu umpama orang mengantuk disurungkan bantal atau pucuk dicita ulam mendatang.

Harus juga diingat, jika diselak kembali, isu menjatuhkan Faizal sebagai MB bukanlah sesuatu yang baharu. Terdapat gerakan mahu menjatuhkan Faizal sebagai MB kerajaan PH pada Disember 2018. Ketika itu pemimpin DAP, Bersatu dan UMNO berbalah mengenai isu menjatuhkan MB ini.

Semalam kemuncak kejayaan khususnya buat DAP dan rakan-rakan PH yang lain lebih-lebih lagi inilah masa dan ruang untuk membalas dendam ‘pengkhianatan’ yang dilakukan Faizal sehingga meruntuhkan kerajaan PH di Perak sebelum ini.

Justeru eloklah pemimpin politik terutama dalam kalangan parti Melayu PN tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati dan perasaan orang lain yang akhirnya menjejaskan perpaduan.

UMNO telah pun berulang kali menegaskan pendirian bahawa sebarang pembentukan kerajaan tidak sekali-kali melibatkan DAP. Untuk rekod Bersatu dan Pas pernah bersama DAP untuk menjatuhkan kerajaan BN yang diterajui UMNO.

Janganlah kerana cepat ‘melatah’, terkeluar ayat-ayat yang akhirnya ibarat meludah ke langit…Penolakan yang berlaku semalam juga bukanlah menolak kerajaan PN sepenuhnya tetapi lebih kepada watak MB itu sendiri.

UMNO, Pas dan Bersatu perlu bermuafakat mewujudkan perikatan yang kukuh. Demi kesejahteraan rakyat jangan menyulitkan pembentukan semula kerajaan negeri Perak yang lebih stabil dan kukuh.

Cukup-cukuplah berpolitik ketika pandemik Covid-19 ini. Jangan menang sorak kampung tergadai. Retak jangan sampai terbelah.

Related posts

Leave a Comment