Bawa sejadah, pakai pelitup muka

PUTRAJAYA 1 April – Kekalkan disiplin, patuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika hadir ke masjid. Itu ingatan kepada umat Islam selepas saf solat berjemaah dirapatkan bermula hari ini dan juga Ramadan mulai Ahad ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata jemaah dinasihat membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka sepanjang melakukan ibadah bagi mengelak penularan pandemik.

Beliau turut meminta mereka yang belum mengambil vaksin Covid-19 supaya berbuat demikian sebagai langkah pencegahan dijangkiti virus berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak berkuasa agama negeri yang mengikut saranan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya saf dirapatkan di masjid dan surau bermula hari ini.

“Selain itu, kita harap ahli jemaah juga dapat hadir majlis ilmu bagi mengimarahkan masjid dan surau. Kebetulan esok atau lusa, kita mungkin sudah mula bertarawih,” katanya selepas melancarkan Program Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan 1443H/2022 di sini, hari ini.

Mengulas ketibaan Ramadan, Idris berkata, umat Islam yang ponteng puasa akan dikenakan tindakan jika ditangkap pihak berkuasa agama negeri dengan hukuman denda sehingga maksimum RM2,000.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi agama Persekutuan lain akan melaksanakan program pengimarahan Ramadan, termasuk solat jemaah dan tarawih, program turun padang, menyediakan juadah berbuka puasa serta menyantuni asnaf dan fakir miskin, selain program ilmu melalui media.

Satu inisiatif utama difokuskan tahun ini adalah program Tadarus al-Quran Peringkat Kebangsaan, yang mana Jakim akan menerbitkan satu risalah menghimpunkan 10 ayat tema penting, yang menjadi tunjang kehidupan seorang Islam tanpa mengira kedudukan.

Pada masa sama, katanya, pelbagai program turut dilaksanakan di peringkat negeri, dengan mematuhi garis panduan ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.

Related posts

Leave a Comment