Brunei catat penurunan kes

BERAKAS 1 April – Brunei Darussalam terus merekodkan penurunan kes harian hari ini apabila jumlah yang dilaporkan sebanyak 503 kes berbanding 686 semalam dan 745 kelmarin.

Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 134,915 manakala dua kematian yang direkodkan hari ini tidak dikategorikan sebagai kematian akibat Covid-19.

Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar berkata, lapan kes dalam kategori 4 direkodkan manakala tiada kes dalam kategori 5.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19, di sini beliau berkata, daripada 503 kes baharu 490 adalah hasil Ujian ART yang telah dimuatnaikkan ke aplikasi BruHealth.

Sebanyak 13 lagi adalah dari 1,176 hasil Ujian Makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Beliau juga memaklumkan, 1,020 kes disahkan sembuh pada hari ini, yang membawa kepada jumlah pesakit pulih 130,250 manakala jumlah kes aktif sebanyak 4,455

Sebanyak 81 kes aktif sedang menerima rawatan di Pusat-pusat Pengasingan dan hospital-hospital, manakala seramai 4,374 kes positif, kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat 31 Mac, sebanyak 61.6 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin.

Related posts

Leave a Comment